Biarkan Aku Bahagia B16

Biarkan Aku Bahagia
Bab 16

Selepas waktu kerja, Salina pulang ke rumah maknya. Dia mahu berbincang mengenai pertunangannya dengan Hafiz. Dia ingin membantah kerana dia tahu dia tidak akan bahagia bersama Hafiz. Sebelum dia pulang ke rumah maknya, dia telah memberitahu Alin supaya Alin tidak risau dia tidak pulang ke rumahnya sendiri hari ini.

Setelah selesai makan malam, mereka berempat termasuk Kak Za berada di ruang tamu. Suaminya berada di luar kawasan. Kak Za membantu maknya membuat gubahan hantaran pertunangan Salina. Salina memandang hantaran itu dengan perasaan benci.

"Mak, babah, kenapa tak bincang dengan adik dulu, ni kan masa depan adik?". Salina mula bersuara. Dia menahan marah. Bukan marah mak dan babahnya tetapi kepada Hafiz, bakal tunangnya.

"La, kenapa, ritu kan mak dah cakap, sapa yang meminang dulu dan mak babah berkenan, mak akan terima". Puan Asma mengigatkan Salina.

"Adik ingat, tapi bukan dengan dia". Salina mulai menunduk.

"Kenapa dengan Hafiz, dia baik ja mak tengok". Puan Asma seakan membela Hafiz. Tangannya masih ligat membuat gubahan hantaran.

"Dia dulu pernah tinggalkan adik". Salina menahan getaran di hatinya.

"Tu dulu, cinta monyet, sekarang dah lain, dia pun dah kerja, tak kan la dia nak tinggalkan adik". Babahnya pula bersuara.

"Tapi"...belum sempat Salina habiskan ayatnya maknya memotong.

"Ke adik ada alasan lain untuk tolak pinangan ni?". Puas Asma memandang Salina dengan jelingan tajam.

Salina hanya menunduk. Tidak dapat menjawab. Dia tahu, jika jelingan itu telah diberikan, maka dia tidak akan dapat membantah lagi.

"Jadi, adik tak de apa-apa alasan la kan, tak salah la mak nak siapkan hantaran ni". Puan Asma tersenyum sambil meneruskan kerjanya.

Salina masih mencari ikhtiar. Dia memandang kakaknya. Kak Za dari tadi hanya menjadi pendengar setia. Tidak sedikit pun menyampuk.

"Kak, ada alamat rumah Hafiz?".

"Eh, adik nak buat apa, jangan nak pegi putuskan pulak". Puan Asma merenung tajam ke arah Salina.

"Eh, tak la mak, dah mak suruh bertunang, kena la bertunang, jadi adik nak la kenal balik dengan Hafiz, supaya serasi". Dalih Salina.

"Eh takkan pompuan pulak nak pegi rumah lelaki, malu la". Sampuk Kak Za sambil tersenyum menampakkan gigi.

"Tak lah kak, adik nak jumpa nenek sebenarnya, ritu tak sempat nak berborak lama, kan adik pengsan, lagipun boleh jugak adik tanya Hafiz apa dia nak untuk hantaran nanti, kot dia tak mau benda manis ke, dia nak buat hantaran untuk kawen terus ke?". Salina sengaja memberi alasan sambil bergurau.

"Aah logik jugak tu, kena jugak tanya Hafiz apa dia nak, nanti kak hantar alamat dalam whatsapp". Kata Kak Za tidak mengesyaki apa-apa.

Salina lega. Umpannya mengena. Dia harus selesaikan secepat mungkin sebelum Sabtu ini tiba.

"Ha, adik nak pegi hari apa, jangan lupa isi borang cuti". Encik Zul bersuara mengejutkan Salina.

"Tengok la esok atau lusa. Tak pe babah, adik pegi lepas waktu keja, lagipun, bukannya jauh". Salina memandang babahnya. Babahnya sekadar tersenyum.

Salina meminta diri untuk solat isya dan terus tidur. Dia ingin bersendirian di kala itu.

"Aku mesti hentikan, aku mesti hentikan, tak boleh, tak boleh". Salina melepaskan geram seorang diri.

Dia tidak sangka, dia akan bertemu semula dengan Hafiz insan yang pernah berada di dalam hatinya suatu ketika dulu. Dia mula membenci ketika Hafiz meninggalkannya pada malam tersebut. Kini dia bertambah membenci kerana Hafiz masih lagi tidak tahu menghormati dia sebagai wanita.

"Ya Allah, aku tidak menyalahkan takdir, cuma aku belum ada kekuatan untuk menerima dia dalam hidupku, namun aku terima apa jua keputusan Mu, berilah aku kekuatan dan jalan untuk menempuhi dugaan Mu". Rintih Salina di dalam hati.

Akhirnya Salina tertidur setelah dia merintih kepada Allah.

Bersambung...

Comments

Popular Posts