Warden 6

Di Asrama PuteraJaya, segala keperluan pelajar disediakan termasuk duit poket ke sekolah. Pelajar yang terpilih adalah pelajar golongan pertengahan dan ke bawah, namun mempunyai semangat juang yang tinggi. Sambutan hari lahir turut diadakan bagi meraikan pelajar.

Sebelum sambutan diadakan, para cikgu akan berbincang setiap tema yang bersesuaian. Setelah itu, cikgu dan para pelajar akan menghias dewan mengikut tema yang telah ditetapkan.

Menu makanan juga turut istimewa. Kebetulan untuk tema sambutan hari lahir yang pertama, menunya adalah KFC. Semua gembira. Namun di sebalik kegembiraan, pasti ada juga insan yang berduka.

"La, awat kamu teriak ni?". Kata salah seorang cikgu kepada pelajar yang menangis.

"Tak dak apa cikgu". Pelajar tersebut beralasan.

"Cikgu, dia teringat mak dengan adik-adik dia, sebab depa semua tak pernah makan KFC". Jawab kawan yang berada di sebelah pelajar.

"Allah". Itu saja yang mampu cikgu tersebut ucap sambil menahan sebak.

"Tak pa, nanti ada rezeki, adalah tu untuk mak dengan adik beradik kamu tu". Kata cikgu lain, memujuk.

Cikgu-cikgu lain? Apa lagi, lari la, cari bucu-bucu bilik, menangis. Cikgu-cikgu lelaki, ada yang ke tandas, konon nak membuang, tapi mata merah ja selepas tu.

Kita ingat kita susah, sebenarnya ramai lagi yang susah.

Pada waktu lain.

"Cikgu, minggu ni balik kampung, kan?". Tanya salah seorang pelajar.

"Ya, balik, awat, tak sabaq ka nak balik?". Tanya cikgu menjawab kepada soalan pelajar tadi. Soalan dijawab soalan.

"Dak, aih. Saya nak minta tolong cikgu, boleh?". Soalan juga pelajar balas.

"Owh, In Shaa Allah, tolong apa tu?".

"Saya bagi duit kat cikgu, tolong beli beras, sardin, susu, boleh dak cikgu, ni duit dia?".

"Aih, banyak ni, mana kamu dapat?". Tanya cikgu, pelik.

"Saya kumpul duit sekolah cikgu, saya memang niat nak beli barang-barang tu kat keluarga saya".

"Dah tu, kat sekolah, kamu makan apa?".

"Kan dah makan pagi-pagi kat asrama, setakat ni, balik sekolah, makan lagi, kenyang cikgu."

Cikgu tu tak tahulah pelajar tu cakap benar atau tidak mengenai rasa kenyang tersebut.

"Boleh dak cikgu?". Tanya pelajar tersebut bila perasan cikgunya termenung.

"Ya, ya, baik". Jawab cikgu kalut.

Mulia sungguh hati kamu, walaupun kamu di asrama agak senang, tetapi masih lagi ingatkan keluarga kamu di rumah. Hanya hati cikgu itu yang mampu berkata-kata. Besar tanggungjawab kamu.

Aih, cikgu dulu, masa baya kamu, masih merengek, main kejar-kejar. Betul orang kata, pengalamanlah yang mematangkan kita.

Ala, cikgu nak cari bucu katil, nak termenung kejap. Sob...sob..sob...siapa potong bawang ni, eh, cikgu sendiri.

~huru-hara 6~

Comments

Popular Posts