Warden 9

Di dalam dewan, terdengar suara riuh rendah macam pasar tani. Mereka berjual beli agaknya. Sampai pengetua di bilik sebelah pun berulang kali mengetuk dinding. Padahal para cikgu meminta untuk berkumpul mengikut Homerome(HR) masing-masing. Cikgu memberi ruang dan peluang kepada Majlis Perwakilan Pelajar mengawal, namun hasilnya, ya, riuh rendah.

"Awat bising sangat ni?". Jerit salah seorang cikgu. Jerit itu bermaksud tinggikan suara kerana keadaan seakan tidak terkawal.

Keadaan masih bising, mungkin pelajar tidak dapat mendengar apa yang cikgu sampaikan.

"1, 2, 3, 4, 5,...". Kiraan salah seorang cikgu telah menyebabkan pelajar bergerak ke tempat masing-masing.

"Cikgu, depa semua ni tak mau diam, penat kami jaga". Kata ketua pelajar, muka sedih.

"Tadi saya kata apa, saya suh berkumpul kan, ada saya sebut suh buat bising, telinga letak kat mana?". Bebel salah seorang cikgu, dengan muka sedikit garang.

"Mana ketua HR, berdiri, penolong pun berdiri".

Maka, berduyun ketua dan penolong berdiri. Kedudukan semua kucar kacir.

"Ok, mulai hari ni, saat ni, semua tahun 6 berada di hadapan, tahun 5 di belakang. Ketua HR di hadapan, penolong di belakang, gerak sekarang". Aku memberi arahan.

Sebenarnya, yang selalu mulakan gelanggang "perbisingan", adalah pelajar yang lebih senior, jadinya letak mereka di hadapan, senang dipantau.

"Mulai hari ni, sampai hujung tahun, macam ni la kedudukan kamu, tiada perubahan, kecuali jika cikgu-cikgu yang ubah, faham." Kataku tegas.

Semua pelajar menggangguk. Namun sebenarnya, bunyi bising ni selalunya akan tetap berlaku, walau di mana mereka berkumpul. Biasalah, banyak topik yang nak dibualkan, sampai waktu tidur pun, mereka nak bercakap.

"Disebabkan kamu semua bising, pengetua arahkan tiada riadah minggu ni." Kata salah seorang cikgu.

Pelajar terus diam. Perkataan riadah adalah seperti seketul emas kepada mereka. Kalau emas hilang, boleh meroyan. Begitulah umpama mereka bila riadah tiada. Maka, mereka terpaksalah berada di dalam bilik study. Bermonyoklah muka mereka. Itu bagi yang suka riadah. Yang tidak suka, maka gembiralah mereka.

"Hang la ni".

"Hang la ni, bising."

Pelajar-pelajar berbisik tetapi masih boleh didengar menyalahkan satu sama lain.

"Tak payah salahkan orang lain, salahkan diri sendiri, tak boleh kawal diri dari bising". Kataku.

Tiba-tiba, ketua pelajar mengangkat tangan.

"Cikgu, saya bertanggungjawab sepenuhnya kesalahan hari ni."

"Kamu semua tengok, ada ketua yang bertanggungjawab, tapi kamu semua, tak membantu langsung dia".

Semua pelajar terdiam. Namun pada masa yang sama, para cikgu berbangga kerana masih ada ketua yang berani dan bertanggungjawab.

Namun pada ketika lain, riadah individu dijalankan. Maksudnya, yang buat salah, tidak dibenarkan beriadah.

"Hari ini, kita akan beriadah di taman. Senarai nama dah di keluarkan, pengetua yang pilih". Kataku.

"Yang selebihnya akan berada di bilik study bersama cikgu Sarip".

Pelajar asrama agak gentar dengan cikgu Sarip. Entah apa yang digentarkan. Cikgu Sarip ni, pendiam, muka sedikit garang, bila kelas cikgu Sarip, semua diam, padahal suara cikgu Sarip tak tinggi pun. Tetapi itu la kelebihan cikgu Sarip, sekali dia pandang, pelajar boleh diam terus.

Pelajar semua berdebar-debar ketika nama di umumkan.

Pelajar yang diumumkan ke taman, telah siap berkumpul, menanti bas dengan perasaan gembira. Manakala selebihnya, bermuram duka la di bilik study.

Daripada cerita cikgu Sarip.

Masa bas bergerak pergi, ada seorang pelajar di bilik study terus menangis, padahal dia lah yang paling nakal untuk batch tu. Lama juga pelajar menangis. Tetapi biasa la, cikgu Sarip ni, hati keras sikit. Cikgu disiplin di asrama katakan. Jadinya dia buat tak tau ja la, selagi pelajar berada dalam kawalan.

Alhamdulillah, masa keputusan UPSR batch tersebut, pelajar tu dapat 5A.

Siapa yang selalu buat bising, tak payah sembunyi diri. Mengaku ja, yang pendiam pun bising, bila jumpa kawan sekepala.

Cikgu-cikgu rindu kebisingan itu, kadang-kadang.

~huru-hara9~

Comments

Popular Posts